Kenapa Mereka Berjaya Mencipta Sejarah?


Ya, sudah menjadi sunnatulLah, bahawa kejayaan yang diraih hari ini adalah hakikatnya bermula dari usaha-usaha di masa lalu, dan begitu jugalah kejayaan di masa depan ditentukan oleh bagaimana keadaaan kita di masa sekarang.

Jadi benarlah apa yang selalu kita dengar “Langkah yang beribu batu itu bermula dengan langkah yang pertama” soalnya sekarang  adakah kita sudah mula melangkah? Atau masih menjadi penonton sahaja kepada kebangkitan-kebangkitan islam yang sedang berlaku di dunia hari ini.

Cukuplah keratan artikel yang ditulis oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi ini memberikan gambaran apa yang seharusnya kita lakukan untuk kita mencipta kebangkitan dan kesedaran Islam secara menyeluruh sifatnya.

1990, menyaksikan parti islam pertama yang memenangi pertandingan dalam pilihanraya dalam system demokrasi iaitu F.I.S di Algeria. Adakah kejayaan itu percuma sifatnya? Atau ianya berlaku secara kebetulan dan datang ibarat bola yang  bergolek sahaja? 

Mari kita teliti apa yang dinukilkan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi ini.

“ Pernah golongan muda dari Algeria mengatakan ‘ kami pernah menunggu kehadiran ekspo antarabangsa, kami tercegat semalaman di hadapan pintu ekspo  tersebut, apabila pintu dibuka, kami menyerbu gerai-gerai dan toko-toko buku islamik, tidak sampai dua atau tiga jam, semua buku-buku islamik sudah habis di jual’.


Inilah kedahagaan demi membaca tulisan-tulisan islamik. Disebabkan itulah saya ( Dr Yusuf al-Qaradhawi) semasa kali pertama pergi ke Algeria mereka di sana meminta supaya mencetak dan memasarkan kitab tulisan saya di Algeria. Mereka sendiri mengatakan bahawa ‘ anatara perkara-perkara yang hanya di benarkan kepada kami adalah buku-buku dan percetakannya’.

Maka saya mengatakan kepada mereka ‘ ambillah kitab-kitab ini tanpa sebarang bayaran, dan cetaklah kitab-kitab ini’. Sedemikian juga turut dilakukan oleh syeh Al-Ghazali Rahimahumullah yang memberi kebenaran kepada penduduk-penduduk Algeria untuk mencetak kitab-kitabnya.


Saya pernah mengatakan bahawa kitab-kitab ini sahaja sudah cukup untuk membangkitkan dan mencetuskan revolusi di Algeria dan sememangnya itulah yang berlaku kemudiannya. Saudara-saudara disana mengatakan kepada saya ‘sesungguhnya perkiraan kamu itu benar, revolusi islam sudah mula meletus dan telah bangkitnya pergerakan islam secara terang-terangan yang pertama di Negara-negara arab, iaitu Front Keselamatan Islam (F.I.S) di Algeria.

Sahabat-sahabat saya sekelian, saya pernah pergi untuk menunaikan solat jumaat di Algeria. Solat jumaat di sana biasanya di hadiri dalam lingkungan seratus atau dua ratus ribu orang jemaah, seperti mana yang dianggarkan oleh para wartawan dan lain-lainnnya yang hadir sekali. Masjid tiga tinggkat dipenuhi oleh jemaah-jemaah, tidak kurang juga kawasan lapang di sekeliling masjid, jalan-jalan dan medan-medan yang berhubung dengan masjid yang turut dibanjiri ribuan jemaah sehingga melumpuhkan laluan lalulintas untuk sementara waktu.


Duta Qatar memberitahu saya ‘anak lelakiku ingin solat jumaat di Algeria, dia sudah bertolak seawal pukul sebelas pagi lagi sedangkan solat jumaat bermula jam satu tengahari. Dia ingin bersolat dekat dengan Syeikh Yusuf yang ketika itu datang melawat dari Qatar, tetapi dia tidak mampu untuk masuk kedalam masjid kerana apabila dia tiba, masjid telah pun dipenuhi oleh jemaah yang datang lebih awal, dan dia langsung tidak boleh masuk ke dalam masjid.*

Dari keratan artikel di atas, dapatlah dibuat beberapa kesimpulan kenapa mereka pernah mencapai kejayaan sebegitu rupa.

  1. Kesedaran dan kecintaan mereka terhadap ilmu dan buku-buku, kerana inilah ayat pertama yang Allah turunkan buat Ummat Muhammad SAW “IQRA”- bacalah.
Kerana ilmu itu sifatnya adalah cahaya yang akan menerangi lorong-lorong gelap yang di huni manusia. Dan akhirnya membaca akan membawa manusia itu menyungkur sujud dan semakin dekat dengan Tuhannya.

Dan ini jugalah yang menjadi asas kepada pemikiran falsafah Socrates seorang pemikir Yunani iaitu beliau membawa konsep “Budi ialah tahu” dengan membawa makna orang yang berpengetahuan dengan sendirinya berbudi baik dan memperoleh kejayaan”

  1. Masyarakat yang Rabbani dengan makna mereka mengakui bahawa mereka hidup bertuhan, dengan membanjiri rumah-rumah ibadah demi untuk bukan sahaja sebagai satu bentuk tanggungjawab buat mereka malah yang jauh lebih dalam dari itu adalah berusaha mendekatkan diri kepada Tuhannya.
Harus kita sedar, bahawa kita ini lemah sifatnya, dan kita ini hamba kepada Tuhan kita, jadi tidak akan pernah ada satu kuasa pun yang mampu memberikan kekuasaaan yang sebenarnya kecuali kekuatan itu harus datang dari Tuhan yang menciptakan kita dan tentunya lebih tahu tentang diri kita sendiri melebihi tahunya kita terhadap diri kita.

*(Realiti  Ummat Islam Masa Kini, Satu Penelitian~ DR Yusuf Al-Qaradhawi)
Keluaran CCFS ~ M/S: 30-31

1 comment:

link said...

I'm interested in advertising on your blog. Where can I find contact information?

Post a Comment